June 28, 2023

KUALA LUMPUR 28 Jun - ANGKASA-X, syarikat global rangkuman teknologi-sosial Malaysia yang pernah memenangi pelbagai anugerah, berjaya melancarkan satelit A-SEANSAT-PG1 (PG1) buatan tempatan yang pertama, seterusnya memacu pembangunan ekosistem teknologi angkasa lepas di Malaysia dan Asia Tenggara.
Pelancaran tersebut telah disiarkan secara langsung di empat lokasi di Malaysia, Universiti Sains Malaysia (USM) di Georgetown, Pulau Pinang; Ibu Pejabat Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan pejabat GreenPro Capital di Kuala Lumpur dan Sarawak Digital Economy Corporation Bhd (SDEC) di Kuching, Sarawak disiarkan dari Vostochny Cosmodrome.
Pasukan pelancaran satelit sulung ANGKASA-X diketuai oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Operasinya, Dr William Lim dan Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan, Norhizam Hamzah bersama pasukan kejuruteraan ANGKASA-X.
Dengan pelancaran satelit PG1, ANGKASA-X akan memanfaatkan pengetahuan teknologinya untuk menerajui perkhidmatan 'Satellite-as-a-Service' (SaaS) yang inovatif, untuk membentuk gugusan satelit Low-Earth-Orbit (LEO) di sepanjang garisan khatulistiwa oleh jurutera Malaysia.
Gugusan satelit LEO tersebut akan berhubung dalam mencapai inisiatif berwawasan syarikat dengan menyediakan perkhidmatan pengesan jarak jauh mampu milik dan merevolusikan perkhidmatan kesalinghubungan internet kepada jutaan pengguna di rantau ini, khususnya di kawasan luar bandar di Asia, seterusnya merapatkan jurang digital.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif ANGKASA-X, Dr Sean Seah berkata, ia menandakan satu kejayaan luar biasa untuk ANGKASA-X dan pasukan jurutera Malaysia mereka yang penuh dedikasi.
Katanya, ia menonjolkan bakat luar biasa dan kemahiran kejuruteraan yang cemerlang, diiringi usaha inovasi tanpa lelah untuk memacu ekonomi angkasa ASEAN.
"Kesalinghubungan adalah satu keperluan untuk manfaat manusia sejagat. Dengan pelancaran PG1 dan satelit kami yang seterusnya, kami komited untuk menghasilkan keterangkuman sosial dengan menawarkan perkhidmatan SaaS yang inovatif menerusi teknologi kami, kepada negara-negara di Asia Tenggara, khususnya kepada lebih 50% penduduk kawasan terpencil yang kini tidak mempunyai akses kepada internet.
"Misi utama kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan satelit mampu milik kepada semua, terutamanya rantau yang kurang mendapat perkhidmatan di sepanjang garisan khatulistiwa.
"Kita sedang menyaksikan detik penting dalam kemunculan era angkasa baharu, yang mana pemerolehan slot orbit angkasa, pembangunan bakat teknologi angkasa, R&D, pembinaan dan pelancaran satelit tempatan serta kejuruteraan penyelesaian satelit dan aplikasi akan memberi manfaat kepada Malaysia, Asia Tenggara dan seterusnya dunia," katanya dalam kenyataan media di sini.
Dalam pada itu, satelit-satelit ini akan menghantar data yang sangat diperlukan oleh kerajaan, agensi keselamatan dan sektor swasta dalam bidang ramalan cuaca, pengesanan pesawat, pemantauan serta keselamatan maritim dan pengimejan masa nyata di lokasi terdedah kepada potensi bencana seperti tanah runtuh, penebangan hutan dan lain-lain.
Imej-imej daripada satelit akan memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko dan membantu usaha bantuan bencana untuk menyelamatkan jutaan nyawa serta menyediakan ciri geografi khusus yang akan membantu perancang bandar untuk membuat keputusan termaklum bagi pembangunan berkesan dan menyeluruh.