Awesome Image
Sean (duduk, kiri) bertukar dokumen perjanjian strategik bersama Liu Wei dalam satu majlis di Cyberjaya, hari ini - Gambar ihsan Angkasa-X

CYBERJAYA: Angkasa-X Innovation Sdn Bhd (Angkasa-X) dan Cangyu Space Technology (Cangyu) merancang untuk melabur lebih AS$100 juta (RM470 juta) dalam tempoh lima hingga 10 tahun ini dalam pembangunan satelit.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Angkasa-X, Dr Sean Seah, berkata pelaburan itu antaranya membabitkan pembinaan sebuah satelit 'Geostationary Equatorial Orbit' atau GEO dan 10 satelit orbit rendah bumi (LEO).

"Kerjasama dengan Cangyu ini menggariskan visi bersama untuk masa depan yang membabitkan penyelidikan dan pembangunan, pemasangan, penyepaduan dan ujian (AIT) satelit bersama dan penubuhan segmen tanah akan mendorong proses pembangunan dan penggunaan satelit kami.

"Gabungan kepakaran, inovasi dan kekuatan kewangan ini akan mempercepatkan perjalanan kami ke arah pertumbuhan bersama dan kecemerlangan teknologi.

"Kami juga akan membangunkan infrastruktur segmen tanah, termasuk stesen bumi satelit dan Pusat Data AI. Sinergi gabungan kepakaran teknikal dan visi bersama kami akan mempercepatkan pembangunan satelit untuk membawa manfaat transformatif kepada berjuta insan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian strategik di antara Angkasa-X dengan Cangyu dan ADA Space Technology di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi dan Presiden Cangyu, Liu Wei dan Ketua Pegawai Eksekutif ADA Space Technology, Dr Wang Lei.

Cangyu adalah syarikat aeroangkasa komersial pertama China yang mempunyai pengkhususan dalam reka bentuk dan operasi sistem penghantaran maklumat menerusi angkasa di orbit tinggi dan sederhana.

Sementara itu, ADASpace adalah sebuah syarikat teknologi internet satelit AI terkemuka dunia yang diasaskan oleh cendekiawan dari universiti, institut penyelidikan, tentera, industri dan pemimpin kerajaan dalam bidang satelit serta aplikasi.

Mengulas lanjut, Seah berkata kerjasama itu juga adalah selaras dengan Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030), yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan Malaysia dalam sektor angkasa, menyokong pembangunan ekonomi dan kemajuan ilmu untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.

"DAN2030 menggariskan matlamat strategik untuk menjadikan sektor angkasa lepas sebagai penyumbang penting kepada kedaulatan, ekonomi dan daya saing negara kita.

"Selain itu, kami amat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa Angkasa-X telah menerima Geran Pecutan Digital Malaysia (MDAG) daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

"Pemberian geran ini akan membantu kami untuk mempercepatkan pembinaan modal insan teknologi angkasa untuk pembangunan gugusan satelit Angkasa-X dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) pelbagai aplikasi penderiaan jauh untuk berkhidmat kepada negara ASEAN," katanya.

Sementara itu, Liu Wei berkata, pihaknya berasa gembira dapat bekerjasama dengan Angkasa-X untuk bersama membina sebuah gugusan satelit yang dikongsikan dan platform dagangan data pengesan jarak jauh satelit dalam masa nyata di Malaysia untuk ASEAN.

"CangYu akan menawarkan teknologi terkini dan juga menyediakan warga kerja profesional angkasa lepas yang berwibawa dan menyumbang kepada pembangunan mampan industri angkasa lepas di Malaysia," katanya.